Thursday 2 August 2012

Berpuasa tapi tidak solat


Saya mendapat soalan mengenai orang yang berpuasa tetapi tidak bersolat. Banyak fatwa ditemui dan pelbagai ragam fatwanya.
Ini semua berpaksi kepada hukum meninggalkan solat dengan sengaja. Apakah jatuh kafir atau tidak. Sebahagian menyatakan hanya jatuh kafir jika menolak kewajipan solat, dan berdosa besar meninggalkannya jika masih beriman solat itu wajib. Sedangkan ada sekelompok ulama yang lain berpegang meninggalkan solat dengan sengaja jatuh hukum sebagai kafir tidak kira seseorang itu menolak kewajipan solat atau tidak.
Tidak kiralah yang mana satu antara kedua pendapat ulama’ ini. Kita mengetahui bahawa paling ringan, meninggalkan solat ada dosa yang sangat besar. Silap-silap lebih besar daripada berzina, minum arak dan sebagainya. Boleh jadi ia dosa yang bawah sedikit sahaja daripada syirik.
Jika membuka aurat, menyebabkan pahala puasa berkurangan, mengumpat menyebabkan pahala puasa berkurangan, berbohong menyebabkan pahala puasa berkurangan, lalu apa lagi jika meninggalkan solat. Puasa kita hanya mendapat lapar dan dahaga, dan kita menanggung dosa yang sangat besar, yang mana kita berada di sempadan antara iman dan kufur.
Nasihat saya: Jadikanlah Ramadhan ini akademi untuk kita melengkapkan kewajipan yang selama ini kita abaikan. Tidak mengapa jika selepas Isya’ anda mahu pulang tidur, menonton televisyen, walau itu satu sikap yang tidak elok. Tetapi sangatlah tercela, jika kita berpuasa, tetapi solat wajib tidak didirikan. Meninggalkan solat lebih jijik daripada berzina, meliwat, minum arak, melacur, buka aurat, dating………. Apakah kita mahu puasa kita sekadar lapar dan dahaga. Puasa apakah ini ketika mana kita malas dan lalai daripada solat. Puasa apakah ini?
Saya ingin berkongsi fatwa Shaikh al-Uthaimin. Suka diingatkan beliau berpegang bahawa kafir jika meninggalkan solat dengan sengaja. Jadi beliau menyimpulkan puasa orang yang tidak solat, tidak sah. Sifirnya mudah, amalan orang kafir, semuanya tidak sah. Teruskan membaca agar kita dapat memahami betapa besarnya dosa meninggalkan solat.

No comments:

Post a Comment